Make your own free website on Tripod.com


Selasa, 22 Julai 2003

Sekolah sedia guna internet

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kementerian Pendidikan boleh melancarkan program internet di sekolah bila-bila masa kerana semua sekolah dan maktab sudah dilengkapkan dengan makmal komputer.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi info komunikasi (ICT) dalam pendidikan, ibu pejabat dan jabatan di bawah kementerian itu juga disediakan dengan infrastruktur ICT kemudahan peralatan komputer dan perhubungan melalui komputer di bawah projek e-Kerajaan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Sheikh Adnan Sheikh Mohammad berkata pencapaian matlamat kementerian membudayakan ICT dalam pendidikan sejajar dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan ulang tahun ke-57 Keputeraan Baginda.

Sehubungan dengan titah Baginda Sultan mengenai keperluan dan penyediaan tenaga manusia dalam pembangunan ICT serta budaya pendidikan sepanjang hayat, katanya kementerian akan terus memperluas dan mempertingkatkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.

Ketika berucap merasmikan Konvensyen Kualiti Kerja Cemerlang (KKC) Kementerian Pendidikan hari ini, katanya pendidikan sepanjang hayat bukan hanya untuk kalangan pelajar tetapi juga oleh kakitangan kementerian termasuk guru.

Mereka hendaknya mengamalkan dan seterusnya membudayakan pendidikan sepanjang hayat supaya dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutama dalam bidang pengkhususan masing-masing.

Dengan kemudahan dan kemahiran ICT pembelajaran boleh dilakukan pada bila-bila masa dan pengetahuan serta maklumat boleh didapati daripada pelbagai sumber ilmu di seluruh dunia.

Menurutnya, peluang pembelajaran dan pendidikan bagi semua peringkat ilmu begitu luas terutama dengan adanya kemudahan komputer dan internet pada masa ini.

Beliau juga meminta jawatankuasa KKC bekerjasama dengan jabatan terbabit untuk mengambil usaha susulan terhadap projek yang sudah diselesaikan oleh kumpulan KKC.

Mereka perlu meneliti kesesuaian projek yang sudah dihasilkan untuk dijadikan Prosedur Standard Operasi (SOP) bagi dikongsi bersama oleh jabatan atau pentadbiran sekolah.

BACK


Copyright ?2003 Brunei Press Sdn Bhd. All rights reserved.